Berita UtamaDunia

UK henti sekat kemasukan 11 negara dari senarai merah

Senarai berkenaan kurang berkesan perlahankan penularan Omicron

LONDON, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Kerajaan Britain mengeluarkan semua 11 negara daripada senarai merah perjalanan COVID-19 mulai hari ini.

Ini kerana kini terdapat penularan komuniti Omicron di Britain, kata Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid kepada Parlimen.

“Sekarang terdapat penularan komuniti Omicron di UK dan Omicron telah tersebar dengan begitu meluas ke seluruh dunia, senarai merah perjalanan kini kurang berkesan dalam memperlahankan penularan Omicron dari luar negara.

“Kami akan mengeluarkan kesemua 11 negara daripada senarai merah perjalanan berkuat kuasa mulai 4 pagi,” katanya.

Kesemua 11 negara berkenaan ialah Angola, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Nigeria, Afrika Selatan, Zambia dan Zimbabwe.

Varian Omicron baharu pertama kali dikesan di selatan Afrika dan Hong Kong.

Kerajaan Britain menambah 11 negara Afrika ke senarai merahnya sejak akhir November, ia bermakna hanya warga United Kingdom (UK) atau penduduk yang tiba dari negara itu dibenarkan masuk dan kuarantin di sebuah hotel.

Britain mencatatkan lebih 4,700 kes Omicron, dengan 10 orang dimasukkan ke hospital dan seorang meninggal dunia selepas dijangkiti varian itu.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, Britain menghadapi ‘lonjakan besar’ dalam kes Omicron. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button