Berita Utama

UMNO sudah bankrap idealisme dalam perjuangan

Lebih pentingkan perut masing-masing berbanding Melayu, Islam

BANGI, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menegaskan, tidak yakin dengan kemampuan UMNO untuk membawa negara ini ke mercu kegemilangan.

Ini kerana, meskipun dikenali sebagai parti politik Melayu yang besar, namun begitu UMNO kini seakan-akan sudah bankrap idealisme dalam perjuangannya.

“Saya tidak yakin. Mereka sudah tidak ada idealisme perjuangan. Perjuangan mereka bukan lagi perjuangan Melayu dan Islam tetapi mereka hanya bergaduh untuk perjuangkan perut masing-masing

“Bahkan mereka akan terus bergaduh sesama mereka walaupun berjaya memenangi pilihan raya,” dakwanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, walaupun UMNO ketika ini menunjukkan kemampuan memerintah secara bersendirian, namun permasalahan dalaman parti itu masih belum selesai.

Justeru, beliau berpandangan negara akan terus ketinggalan berbanding jiran-jiran lain yang sedang menuju kecemerlangan dan kejayaan mengikut misi masing-masing.

“Kita sekarang masih lagi bawa ‘baggage’ ataupun istilah lain negara masih lagi tertakluk kepada ‘baggage’ yang dibawa oleh UMNO.

“Kita belum lagi mampu ‘move on’. Negara kita masih belum lagi bergerak ke depan,” katanya.

Selain itu, Amir ISMA itu tidak menolak kemungkinan gesaan pemimpin UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam waktu terdekat lebih kepada usaha menjaga kepentingan pihak tertentu dalam parti itu sendiri.

“Banyak kemungkinan jika dipercepatkan pilihan raya. Jika UMNO menang maka satu pihak akan dapat melaksanakan apa yang dimahukan termasuk kemungkinan membatalkan dakwaan di mahkamah dan sebagainya,” dakwanya.

Sementara bagi satu lagi pihak, Ustaz Abdullah berkata, jika tidak dilaksanakan pilihan raya sekarang mereka mungkin berkehendakkan supaya pemilihan dalam UMNO dilaksanakan dahulu.

Sekiranya ia dilaksanakan, kemungkinan berlakunya penyusunan semula kepimpinan UMNO, justeru mereka yang mempunyai masalah ataupun kepentingan tertentu berkemungkinan besar bakal tersingkir.

“Oleh itu, wujudnya di sana keterdesakan daripada golongan ini untuk segerakan pilihan raya supaya mereka mempunyai peluang untuk mencapai hasrat yang mereka kehendaki,” dakwanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button