Berita Utama

11 loji ayam di Thailand, China masih sah status lulus eksport

Perkara itu dinyatakan oleh pihak Jakim dan JPV

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilawal 1443H, Khamis – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan status kelulusan sembilan loji ayam di Thailand dan dua di China yang tersenarai dalam laman sesawang JPV, masih sah untuk mengeksport ke negara ini.

JPV dan Jakim dalam satu kenyataan media memaklumkan kelulusan pelanjutan status eksport berkenaan telah disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) pada 29 Mei lepas.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai pegawai JPV, Jakim, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Badan pengesahan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim telah ditugaskan khusus bagi memantau dan menyelia loji di kedua-dua negara berkenaan.

“Dua badan berkenaan ialah ‘The Central Islamic Council of Thailand (CICOT)’ dan ‘Shandong Halal Certification Service (SHC)’,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan media itu, tempoh sah pengiktirafan Jakim ke atas CICOT bermula 6 September lepas hingga 31 Disember 2023, manakala bagi SHC pula bermula 23 Jan lepas hingga 23 Januari 2022.

Turut mengulas tempoh pengikitirafan SHC yang akan tamat pada 23 Januari depan, Jakim berkata “remote audit” atau audit secara jarak jauh telah dilaksanakan kepada badan-badan terlibat bagi proses pembaharuan pengiktirafan pada 5 hingga 20 April lepas.

“Pada 17 Jun lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara, Jakim telah meluluskan pembaharuan pengikitirafan kepada SHC bermula 24 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023 dan sijil baharu akan dikeluarkan selepas tempoh sedia ada tamat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan video tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang mendakwa loji ayam dari Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button