Berita UtamaDunia

Bantuan rentas sempadan ke kubu pemberontak Syria penting: PBB

4.5 juta orang di Syria perlu bantuan pada musim sejuk

NEW YORK, 11 Jamadilawal 1443H, Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan rentas sempadan ke Syria kekal penting.

Berikutan itu, PBB membenarkan bantuan ke kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut negara itu tanpa kelulusan Damsyik.

“Bantuan rentas sempadan kekal menyelamatkan nyawa berjuta-juta orang yang memerlukan di barat laut Syria,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterress dalam dokumen sulit yang diperoleh AFP.

Kerjasama yang jarang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia pada Julai membolehkan lanjutan aktiviti selama enam bulan di Bab Al-Hawa – satu-satunya lintasan sempadan bantuan sampai ke kubu pemberontak di wilayah Idlib.

Kebenaran itu bagaimanapun akan tamat tempoh pada 10 Januari.

AS dan beberapa negara Eropah percaya kebenaran PBB untuk lintasan sempadan antara Syria dan Turki harus diperbaharui secara automatik selama enam bulan tambahan, tanpa memerlukan undian baharu.

Namun Russia – sekutu penting kepada rejim Damsyik – sebelum ini telah menentang langkah berkenaan.

Mekanisme rentas sempadan telah beroperasi sejak 2020 melalui Bab Al-Hawa.

Guterress berkata, lebih empat juta orang memerlukan bantuan penting di seluruh negara.

Dalam dokumen pada Selasa, Ketua PBB itu merujuk kepada projek lain untuk operasi kemanusiaan, kali ini merentasi barisan hadapan, untuk sampai ke Idlib.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan lintasan Bab Al-Hawa.

“Pada ketika ini konvoi rentas barisan seperti itu, walaupun digunakan secara kerap, tidak dapat meniru saiz dan skop operasi rentas sempadan,” katanya.

Guterres berkata, kira-kira 4.5 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan pada musim sejuk ini – meningkat 12 peratus daripada tahun sebelumnya, ekoran krisis ekonomi dan pandemik global.

Hanya 2.9 peratus daripada penduduk Syria diberi vaksin sepenuhnya, menurut laporan itu.

Lebih daripada tiga juta orang tinggal di wilayah Idlib, kebanyakannya dikawal oleh pejuang jihad dan pemberontak bersekutu.

Pada bulan Jun, PBB berkata, sekitar 2.4 juta penduduk di sana memerlukan bantuan kemanusiaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button