Berita Utama

Diskaun saman trafik, JPJ rai golongan degil?

Ibarat beri mesej salah kepada rakyat babit kesalahan trafik

BANGI, 11 Jamadilawal 1443H, Khamis – Tidak dapat dinafikan strategi pihak berkuasa membuat diskaun bayaran saman trafik – ala-ala jualan murah musim perayaan – mencapai matlamat ‘menang-menang’ seperti yang didambakan banyak pihak.

Meskipun rata-rata rakyat gembira dengan perkara itu, hakikatnya wujud beberapa persoalan besar yang masih tidak terjawab berhubung pelaksanaannya.

Antaranya, ia kelihatan seperti menghukum pihak yang membayar saman awal dan meraikan golongan yang degil – yang mungkin tidak akan membayar saman langsung jika tiada diskaun diberikan – demikian pandangan Setiausaha Agung BERJASA, Ir Muhammad Lukman Al Hakim.

“Adakah sistem diskaun saman yang dibuat ini adil bagi para pesalah trafik yang telah membayar awal menggunakan nilai saman asal?

“Tidakkah ia juga memberi mesej salah kepada seluruh rakyat bahawa ‘tidak mengapa melakukan kesalahan trafik, kelak anda semua pasti diampunkan?’ soalnya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai akta pengangkutan jalan dan penguatkuasaannya sehingga para pesalah trafik bebas melakukan kesalahan berulang kali tanpa sedikit pun rasa bersalah.

“Apa telah terjadi dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) oleh JPJ yang sepatutnya menggantung lesen para pesalah trafik berulang berdasarkan sistem mata?

“Apa khabar pula Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang sepatutnya mula dikuatkuasakan April 2017?

“Bukankah kedua-dua sistem ini sepatutnya menafikan pembaharuan lesen memandu bagi para pemandu yang masih belum melunaskan saman trafik?” soalnya lagi.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan, tempoh diskaun untuk bayaran kompaun saman trafik yang dijadualkan berakhir 12 Disember dilanjutkan hingga 31 Disember ini.

Pelanjutan tempoh bayaran kompaun saman itu diberi untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka.

Selain itu, tempoh pengurangan kompaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 80 peratus yang berakhir pada Rabu dilanjutkan hingga tarikh sama.

Ia berikutan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap tawaran diskaun 80 peratus saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button