Berita Utama

PRN Sarawak: Pengundi dinasihat undi ikut masa dicadangkan

Tidak dinasihat keluar undi pada saat-saat akhir

KUCHING, 11 Jamadilawal 1443H, Khamis – Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini dinasihat supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu melalui aplikasi MySPR Semak telah meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi.

Beliau berkata sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan dan mereka juga disaran membuat semakan awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan proses semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi juga dinasihatkan menyimpan kad pengenalan dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi Sabtu ini manakala seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang telah mengundi secara pos. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button