Berita Utama

Akta 342: Tidak rasional dipinda selain untuk bebankan rakyat

'RM100,000 denda hanya kerana tak pakai pelitup muka? Tak masuk akal!'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Tidak masuk akal untuk mengenakan denda sehingga RM100,000 hanya kerana gagal memakai pelitup muka.

Demikian tegas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya terhadap cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Beliau berkata, denda sedia ada yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah cukup membebankan rakyat, apatah lagi jika akta itu dipinda dengan kadar baharu ditambah.

Atas sebab itu, beliau berkata, cadangan meminda akta tersebut dibantah rakyat kerana hukuman yang dikenakan sangat membebankan.

“Dalam keadaan ekonomi rakyat yang menderita hari ini, cadangan seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

“Ia dilihat seolah-olah kerajaan tidak memahami penderitaan rakyat. Denda yang ada sekarang ini pun sudah berat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Cadangan pindaan ini akan memberikan peruntukan kepada KKM untuk menaikkan denda salah laku Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998.

Di bawah akta yang bakal dipinda itu, denda terhadap mana-mana kesalahan adalah termasuk tidak memakai pelitup muka atau tidak mengamalkan penjarakan sosial, pelanggaran perintah kuarantin dan terlibat dalam acara yang dilarang membabitkan perkumpulan ramai orang serta sesak.

Menerusi pindaan itu, individu yang melanggar perintah di bawah Akta 342 akan dikenakan kadar denda lebih tinggi daripada RM1,000 kepada RM100,000, manakala bagi syarikat korporat sehingga RM2 juta.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyifatkan tidak melihat kesan rasional jika akta itu dipinda melainkan hanya menambah beban kepada rakyat.

“Kenapa tergesa-gesa untuk pinda? Apakah motif sebenar KKM?

“Justeru, PEMBELA mendesak KKM untuk menarik balik cadangan ini dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button