Berita Utama

Genap 3 tahun pemergian Adib, kes makin dipandang sepi

Mohon menteri uar-uarkan status terkini kajian jawatankuasa kes Adib

BANGI, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Sudah genap tiga tahun pemergian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, namun selama tempoh tersebut juga keluarganya masih belum mendapat keadilan malah kes itu semakin dipandang sepi sahaja.

Apa yang amat dikesalkan, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya adalah pelaku dan punca rusuhan masih belum dihukum sehingga ke hari ini.

“Jangankan mereka yang mencederakan Adib, tetapi yang terlibat mencetuskan kekacauan dan rusuhan pada hari kejadian juga masih belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka. 

“Sekali lagi saya ingin ingatkan kepada kita semua bahawa Adib mati kerana dipukul sebagaimana yang diputuskan mahkamah melalui hasil keputusan inkues,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua bulan lalu kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa khas bagi ‘menyiasat’ kes kematian Allahyarham Muhammad Adib. 

Ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh jemaah menteri itu dikatakan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

“Apa perkembangan jawatankuasa tersebut? Apakah mungkin benar kritikan ramai pihak bahawa jawatankuasa ini sama sahaja seperti jawatankuasa-jawatankuasa yang lain, hanya untuk bersorak sahaja? 

“Mohon Menteri Undang-Undang selaku pengerusi jawatankuasa ini menguar-uarkan status terkini jawatankuasa,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin menyeru rakan seperjuangannya, terutama sekali yang dahulu lantang dan kini sudah menjadi menteri untuk kembali bersuara bagi mengangkat serta mengenang pemergian Allahyarham Muhammad Adib selain menggesa kerajaan mempercepatkan siasatan. 

“Kita tidak mahu kisah Allahyarham Adib ini padam begitu sahaja, lebih-lebih lagi kini masih tiada apa-apa keadilan yang diterima oleh keluarga Allahyarham. 

“Moga syurga buatmu, wahai Adib. Al-Fatihah,” kata Aminuddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button