Berita Utama

Dedah nama syarikat, produk salah guna logo halal!

Supaya jadi peringatan, pengguna lebih berhati-hati

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa mendedahkan nama syarikat atau produk yang terlibat dalam kes salah guna logo halal.

Ini bagi membolehkan pengguna berhati-hati dalam melakukan pembelian kerana isu melibatkan perihal halal dan haram bukan perkara remeh bagi umat Islam.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari tidak menafikan, kesukaran dalam memohon kelulusan logo halal berikutan prosedur agak berbeza setiap bagi setiap negeri.

“Sebelum ini kita hanya melihat pihak penguat kuasa memberi denda selain meminta pemilik syarikat tutup kedai apabila melibatkan kes penyalah guna logo sijil halal, tetapi tidak mendedahkan kepada umum sebagai menjaga aib syarikat berkenaan.

“Tetapi saya melihat cara tersebut tidak mampu melindungi pengguna, sebaiknya kita dedahkan supaya dijadikan peringatan dan pengguna akan lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Cikgu Izzat memohon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan kerja-kerja pemantauan penyalahgunaan logo halal bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, kerjasama Jakim dan NGO dipercayai mampu menangani masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama itu.

“Sejak Januari 2020 hingga Disember 2021 lebih puluhan kes melibatkan penyalahgunaan sijil halal dan ini membuktikan kelemahan pihak penguat kuasa dalam menangani (masalah ini).

“Jadi apa salahnya Jakim bersama KPDNHEP memberi peluang kepada kami di NGO untuk turun padang dan tangani secara bersama,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan, lambakan kes-kes seperti ini seumpama memberi petanda kepada pengguna supaya beralih kepada produk barangan tempatan atau Beli Produk Muslim (BMF).

“Saya anggap ini sebagai ‘hint’ kepada pengguna supaya mencari produk-produk keluaran Islam yang diyakini halal yang semestinya bersih,” katanya.

Terdahulu, KPDNHEP Pulau Pinang merampas pelbagai produk makanan bernilai RM54,402.90 kerana menyalahgunakan penandaan logo halal pada barangan dalam pemeriksaan di sebuah premis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button