Berita Utama

MARA rancang perkenal program pastikan kes buli tak berulang

Cari jalan supaya pelajar MRSM punyai keperibadian baik, saling berkasih sayang

BANGI, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempunyai perancangan untuk memperkenalkan program kokurikulum bersesuaian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk memastikan kes buli di institusi pendidikan itu tidak berulang pada masa hadapan.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) semalam, sebagai langkah untuk membendung masalah buli dalam kalangan pelajar di MRSM.

“Kita perlu memberikan perhatian serius terhadap perkara ini dalam memastikan kes seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Kita bercadang memperkenalkan program kokurikulum yang sesuai bagi memastikan pelajar ini bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang dari segi jati diri dan sahsiah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizah seperti dilapor BH berkata, MARA akan terus mengambil langkah proaktif dan mencari jalan supaya pelajar yang berada di MRSM mempunyai keperibadian yang baik selain berkasih sayang antara satu sama lain.

“Tindakan kaunseling juga akan terus diberikan kepada pelajar yang menjadi mangsa kes buli berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan untuk menamatkan pengajian seramai 10 pelajar MRSM yang terbabit dengan insiden membuli, berkuat kuasa kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button