Berita Utama

Operator kilang korban pertama banjir di Pahang

Mayatnya ditemukan hampir 3 jam selepas meredah air bah

KUANTAN, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Seorang operator kilang menjadi korban pertama banjir di Pahang tahun ini, selepas mayatnya ditemukan hampir tiga jam selepas dia dilaporkan terjatuh daripada motosikal semasa meredah air bah di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa M. Gunalan, 38, dari Taman Gambang Makmur di sini ditemukan pada 2.22 petang tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi orang awam melihat dia terjatuh.

“Saksi kejadian memaklumkan mangsa cuba mengharung air deras di situ pada 11.30 pagi sebelum dilihat gagal mengawal motosikalnya menyebabkan dia terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Beberapa orang yang berada berhampiran cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus air yang sangat deras membahayakan diri mereka,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat selepas ujian saringan COVID-19 diperoleh.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan empat pegawai dan anggota polis serta 24 pegawai dan anggota bomba menggunakan masing-masing sebuah bot gentian, lori dan pacuan empat roda.

Awal pagi ini, beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi, termasuk di Pekan Sungai Lembing, Kampung Kempadang, Sungai Soi dan Kampung Bugis.

Beberapa jalan juga dinaiki air termasuk di Jalan Gambang, Jalan Air Putih dan Jalan Pintasan Kuantan namun mulai surut pada tengah hari ini, selain angin kencang menyebabkan beberapa pokok di sekitar daerah ini tumbang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button