Dunia

Pfizer cipta pil Paxlovid rawat COVID-19

EU jadi negara terawal guna walaupun semakan penuh belum selesai

ANKARA, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Pil percubaan yang dibangunkan oleh Pfizer-BioNTech untuk merawat COVID-19 kini boleh digunakan di negara Kesatuan Eropah (EU), walaupun semakan penuhnya masih belum selesai.

Agensi Ubat Eropah (EMA) berkata, semakan semula pil yang dipanggil sebagai ‘Paxlovid’ itu telah dimulakan.

“Ubat itu – yang belum dibenarkan di EU – boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dewasa yang tidak memerlukan oksigen tambahan dan berisiko menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

“Ia harus diberikan kepada pesakit secepat mungkin selepas diagnosis dijangkiti COVID-19 dan dalam tempoh lima hari dari permulaan simptom,” katanya dalam kenyataan.

EMA berkata, peringatan itu diberikan kepada pihak berkuasa negara yang mungkin memutuskan penggunaan awal ubat berkenaan, sebelum kebenaran pemasaran, termasuk bagi penggunaan kecemasan ekoran peningkatan kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di seluruh EU.

Satu kajian ke atas pesakit yang tidak dirawat di hospital, tanpa divaksin dan mempunyai gejala menunjukkan bahawa Paxlovid mengurangkan risiko kemasukan ke hospital serta kematian apabila rawatan dimulakan dalam tempoh lima hari dari permulaan gejala.

“Kira-kira satu peratus pesakit (enam daripada 607) yang mengambil Paxlovid dalam tempoh lima hari dari permulaan simptom dimasukkan ke hospital dalam tempoh 28 hari selepas memulakan rawatan berbanding 6.7 peratus pesakit (41 daripada 612) diberi plasebo (rawatan palsu); tiada pesakit dalam kumpulan Paxlovid meninggal dunia berbanding 10 pesakit dalam kumpulan plasebo,” kata EMA.

Agensi itu berkata, kesan sampingan yang biasa dilaporkan ketika rawatan dan sehingga 34 hari selepas dos terakhir Paxlovid adalah gangguan rasa, cirit-birit dan muntah.

Pfizer mendakwa, bahawa pil itu berkesan terhadap varian baharu, Omicron yang telah melanda seluruh dunia sejak pertama kali dikenal pasti oleh saintis Afrika Selatan pada November lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button