Dunia

Taufan Rai berkelajuan 195 kmj badai Filipina, ragut satu nyawa

Lebih 300,000 orang terpaksa tinggalkan kediaman

MANILA, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Taufan terkuat yang membadai Filipina tahun ini bukan hanya menyebabkan banjir dan memutuskan bekalan elektrik, malah meragut sekurang-kurangnya satu nyawa.

Lebih 300,000 orang meninggalkan kediaman dan pusat peranginan di tepi pantai ketika Taufan Rai melanda wilayah selatan dan tengah negara itu, sehingga menyebabkan sistem komunikasi terputus di beberapa kawasan dan merosakkan bumbung bangunan.

Rai adalah taufan terkuat yang melanda Pulau Siargo pada Khamis, dengan membawa angin berkelajuan maksimum 195 kilometer sejam (kmj).

Menjelang hari ini, kelajuan angin telah berkurangan kepada 155 kmj, kata bahagian kaji cuaca tempatan.

“Semua bangunan mengalami kerosakan teruk termasuk pejabat bencana wilayah. Ia kelihatan seperti terkena bom,” kata wartawan ABS-CBN, Dennis Datu.

Datu berkata, jalan utama menuju ke bandar pesisir pantai terputus akibat tanah runtuh, pokok dan tiang elektrik tumbang.

Agensi bencana negara mengesahkan seorang maut dan dua lagi cedera akibat ribut itu, didakwa ketika sedang menuju ke destinasi pelancongan popular di Pulau Palawan.

Sementara, 300,000 penduduk terpaksa berlindung di penempatan kecemasan ketika taufan itu melanda Lautan Pasifik dan membadai negara berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button