Warisan tawar Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri
Bakal lebarkan sayap parti ke Semenanjung Malaysia pada PRU15

KUALA LUMPUR, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Parti Warisan Sabah (Warisan) secara rasmi mengumumkan bahawa ia akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia.
Parti itu akan membuat penampilan sulung di luar Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan telah menawarkan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Dalam ucapan pada pelancaran bahagian semenanjungnya, hari ini, Shafie mengakui parti itu ‘tidak boleh memasuki pertempuran secara bersendirian’ dan ia memerlukan pakatan untuk berjaya.
Bagaimanapun, kata beliau, sekutunya perlu berkongsi prinsip yang sama.
Ahli Parlimen Semporna itu menekankan bahawa Warisan akan menjadi pilihan baharu untuk rakyat pada PRU15 dengan rancangan untuk keluar daripada sistem politik semasa yang berdasarkan kaum dan agama.
“Mesti ada perubahan sekarang, ia tidak boleh tunggu esok, minggu depan, bulan depan atau tahun depan. Kita mesti bermula hari ini. Kita mesti ada kemahuan untuk melakukan perubahan.
“Jika kita tidak melakukannya, maka kita tidak akan dapat (menggalakkan politik inklusif). Kita telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun (yang lalu), namun isu kaum (masih) dipermainkan.
“Apabila kita menggunakan kaum dan agama, ia sangat memecahbelahkan,” katanya.
Shafie berkata, terdapat keperluan bagi negara untuk menghapuskan krisis kepimpinan yang sentiasa melanda parti politik merentasi jurang.