Berita UtamaDunia

33 peratus dunia Arab tidak punyai makanan mencukupi: Laporan PBB

Jejaskan 141 juta orang sejak tahun 2000

ROME, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Dunia Arab menyaksikan peningkatan 91.1 peratus masalah kebuluran sejak 2000, menjejaskan 141 juta orang, menurut satu laporan baharu Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), semalam.

Laporan Tinjauan Keseluruhan Keselamatan Makanan dan Nutrisi Wilayah Timur Dekat dan Afrika Utara 2021 berkata, peningkatan itu adalah hasil daripada krisis yang berlarutan, pergolakan sosial dan pendedahan kepada pelbagai kejutan serta tekanan seperti konflik, kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, sumber asli yang terhad dan kesan ekonomi yang berkaitan dengan pandemik COVID-19, baru-baru ini.

“Konflik terus menjadi salah satu punca utama kebuluran di rantau ini, dengan kira-kira 53.4 juta orang menghadapi kebuluran di negara dan kawasan yang terjejas akibat konflik, yang lebih enam kali lebih tinggi daripada di negara bukan konflik,” kata Penolong Pengarah FAO, Abdulhakim Elwaer.

Somalia, Iraq dan Yaman yang dilanda perang didapati mempunyai masalah kekurangan zat makanan tertinggi antara 2018-2020. 

Bagaimanapun, angka tidak dicatat untuk Libya, wilayah Palestin yang diduduki atau Syria.

Somalia, Libya dan Sudan didapati mempunyai kadar ketidakselamatan makanan yang paling tinggi, dengan laporan mendapati negara konflik mengalaminya hampir 2.5 kali ganda berbanding negara yang menikmati kestabilan.

“Negara-negara yang dilanda konflik di rantau ini menunjukkan prestasi yang lebih teruk pada penunjuk kekurangan zat makanan berbanding negara yang tidak berkonflik,” menurut laporan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button