Berita Utama

Agensi bawah KASA sedia hadapi sebarang kemungkinan banjir

Jangan buang sampah merata, elak jadi punca banjir kilat

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Semua agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menghadapi banjir di beberapa negeri berikutan hujan lebat yang berterusan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran banjir di beberapa kawasan rendah di pantai timur, tengah dan utara Semenanjung Malaysia berikutan hujan berterusan.

“Berikutan amaran terbaharu itu, kami meletakkan semua agensi di bawah kementerian di seluruh negara dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Malah, kita juga telah mengarahkan agensi-agensi ini untuk mengemukakan sebarang maklumat mengenai banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, hari ini.

Banjir dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu sejak semalam.

Mengulas lanjut, Mansor seperti dilapor NST turut menegur tindakan orang ramai yang menyumbang kepada fenomena banjir kilat.

“Orang ramai terus membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya, sehingga menyumbat sistem perparitan. 

“Oleh itu, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mendidik orang ramai supaya menjauhi perbuatan sedemikian. Ini untuk kebaikan semua.

“Kami percaya mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button