Berita Utama

COVID-19: 4,083 kes baharu hari ini

252 kluster masih aktif, 391 kes perlu rawatan di ICU

BANGI, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Sebanyak 4,083 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan 4,049 kes tempatan dan 34 lagi adalah import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan berkata, menerusi jumlah itu, sebanyak 391 kes (314 disahkan COVID-19, 77 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan) memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 215 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 5,435 kes sembuh dilaporkan menjadikan keseluruhan kepada 2,630,680 kes.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 252 kluster masih aktif dan tiga kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kepada 6,077.

“Daripada 4,083 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 69 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 dan 4,014 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat yang sering ditekankan.

Ini termasuk mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat, selain mengamalkan langkah ‘wash, wear dan warn’ serta sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam tertutup.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button