Dunia

Korban Taufan Rai badai Filipina cecah 21 orang

Kerosakan teruk di Pulau Siargo, pulau selatan Mindanao

MANILA, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Angka korban akibat taufan kuat yang melanda Filipina tahun ini, dilaporkan sudah mencecah 21 nyawa setakat Sabtu, menurut pegawai tempatan.

Lebih 300,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman dan pusat peranginan di tepi pantai ketika Taufan Rai membadai wilayah selatan serta tengah kepulauan itu, sehingga menyebabkan sistem komunikasi dan bekalan elektrik di kebanyakan kawasan terputus.

Rai adalah taufan kuat yang melanda pulau pelancongan popular Siargo pada Khamis, dengan membawa kelajuan maksimum angin sehingga 195 kilometer sejam (kmj).

Kelajuan angin itu berkurangan kepada 150kmj ketika ia membadai seluruh negara, dengan keadaan hujan lebat yang menyebabkan beberapa kampung banjir serta menumbangkan pokok.

“Ini sememangnya salah satu ribut yang paling kuat melanda Filipina pada bulan Disember dalam dekad yang lalu.

“Maklumat dan gambar yang kami terima sangat membimbangkan,” kata Ketua Persatuan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa Filipina, Alberto Bocanegra.

Lebih 18,000 tentera, polis, pengawal pantai dan bomba dikerahkan menyertai operasi mencari serta menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal.

“Terdapat kerosakan teruk di Pulau Siargo dan hujung pulau selatan Mindanao,” katanya.

Katanya, terdapat kira-kira 100,000 penduduk di Siargo, namun populasi dijangka bertambah ekoran kedatangan pelancong ke kawasan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button