Berita Utama

Penceroboh tanah haram dapat sokongan DAP, apa pendirian UMNO?

UMNO kena buktikan kuasa politik Melayu tak hilang ditelan DAP

BANGI, 17 Rejab 1444H, Rabu – “Apakah pendirian UMNO terhadap isu pencerobohan tanah di Pahang apabila DAP semakin lantang tunjukkan sokongan kepada peneroka tanah haram itu?,” demikian persoalan dibangkitkan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan.

Beliau berkata, jumlah penceroboh yang besar dengan disokong wakil rakyat daripada parti yang berada dalam kerajaan negeri amat membimbangkan.

Sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini telah menasihatkan pekebun durian Musang King di Raub supaya mempertimbang semula permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Ustaz Aireroshairi menegaskan, tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelas merupakan tanah milik Kerajaan Negeri.

“Ironinya tindakan tegas Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa negeri itu kini ditentang oleh DAP, sedangkan UMNO dan DAP sama-sama berada di dalam Kerajaan Campuran.

“Pertembungan antara dua parti ini memang sudah dijangka. Bukankah ini yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden UMNO mengenai ‘DAP tidak bermuka-muka’ dan ‘kita memang kenal pendirian mereka’? 

“Mungkinkah kehendak DAP lebih utama daripada tanah Negeri Pahang dan maruah UMNO Pahang?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Gusar dengan perkembangan isu ini, Ustaz Aireroshairi berkata, besar harapan penduduk tempatan agar UMNO terus berpegang dengan pendirian mereka sebelum ini. 

“UMNO perlu membuktikan bahawa kuasa politik orang Melayu tidak hilang ditelan DAP. Jangan dicabul kedaulatan negeri dan hak rakyat hanya kerana ‘cintakan’ DAP.

“Pemimpin dan penduduk yang telah dinafikan hak perlu bersatu melawan pencerobohan ini. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Kira-kira 500 pekebun tanpa geran yang mengusahakan durian musang king di Raub, Pahang sepakat untuk meneruskan semakan kehakiman mereka di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Mereka berhimpun bersama Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Kumpulan pekebun itu juga bersetuju rundingan perlu dijalankan berdasarkan prinsip rakan setara dan segala syarat kontrak dan proses menandatangani kontrak perlu dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang berkata, pekebun juga sedia membayar kadar cukai tanah 20 kali ganda lebih tinggi daripada kadar ditetapkan kerajaan Pahang pada 2019.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button