Berita Utama

Mana menteri bertanggungjawab ke atas SUHAKAM?: Tun Hanif

Kerajaan mesti siasat, perbetul SUHAKAM bergerak di landasan sepatutnya

BANGI, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Rakyat mesti mendesak kerajaan supaya mengubah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sekiranya masih tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia yang diperjuangkan SUHAKAM kerana perkara itu hanya diamalkan di negara Barat, merangkumi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), perkahwinan sejenis serta aktiviti tidak bermoral lain.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menyiasat dan memperbetulkan semula SUHAKAM supaya pertubuhan itu bergerak di landasan yang sepatutnya.

“Kita mesti dengan lebih teliti dahulu melihat kembali Akta SUHAKAM. Apakah akta ini mengkehendaki Pesuruhjaya SUHAKAM menganjur European Human Rights atau pun apa bentuk human rights yang diperjuangkan suruhanjaya itu.

“Saya percaya, CENTHRA (Centre For Human Rights Research And Advocacy) boleh memberi pencerahan terhadap perkara itu,” katanya seperti dilapor portal Samudera.my.

Mohammed Hanif turut mempersoalkan di mana menteri yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas SUHAKAM.

“Malah, penguat kuasa agama juga tidak boleh berdiam diri walaupun mereka tidak bersetuju dengan SUHAKAM,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu segera meneliti semula undang-undang tubuh SUHAKAM selain perlu meneliti ketelusan setiap laporan tahunan yang melaporkan semua aktiviti suruhanjaya itu sepanjang tahun dan mengutarakan pandangan serta syor berkaitan pelbagai isu-isu hak asasi manusia di Malaysia.

Beliau berkata, pandangan serta syor itu haruslah didukung oleh semangat tanggungjawab kolektif semua menteri dan pemimpin.

“Oleh itu, kita perlu menolak usaha mana-mana pemimpin negara yang mahu menormalisasi aktiviti songsang LGBT di pentas mana pun.

“Kebebasan yang dijamin dan dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukan bermaksud kebebasan mutlak seperti yang diperjuangkan SUHAKAM, sebaliknya ia mesti dipertanggungjawab di bawah had yang sewajarnya berlandaskan perundangan dan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button