Berita Utama

Pembayaran BKC Fasa 3 dibuat Isnin ini

Babit peruntukan RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima miskin, B40

BANGI, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Pembayaran Fasa 3 Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sebanyak RM300 akan dibuat pada Isnin ini membabitkan peruntukan RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi pembayaran itu, nilai bantuan di bawah BKC yang telah lengkap diberikan berjumlah RM4.6 bilion.

Beliau berkata, ia juga sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembayaran BKC sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Seperti semua sedia maklum, pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BKC telah diselesaikan pada bulan September dan November yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk hampir 10 juta penerima.

“Kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan ini menjadi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui portal http://bkc.hasil.gov.my.

Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima BKC dan nilai bantuan yang diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

Dalam kenyataan itu, bayaran akan terus dikreditkan kepada penerima yang mempunyai akaun bank pada 20 Disember ini, sementara bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada tarikh sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button