Berita Utama

Manifesto patut berlandas ilmu bukan angan-angan: MUIS

Usah letakkan sokongan rakyat sebagai pertimbangan utama

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Calon dan parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diingatkan supaya mengeluarkan manifesto dan berkempen berlandaskan ilmu bukan ‘angan-angan’.

Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, ilmu itu mesti dikaji dan dilihat keberkesanan daripada pelbagai pihak, bagaimana ia boleh menyelamatkan keadaan dan sama ada benar-benar efisen.

“Semuanya perlu dikaji dengan jelas bukan sekadar memenangi hati rakyat kerana ia bukanlah sebahagian daripada tujuan politik.

“Tujuan politik untuk menegakkan agama, menyelamatkan keadaan masyarakat, bukannya untuk mereka sokong kita,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Sehubungan itu, Ustaz Syamil mengingatkan parti politik untuk tidak meletakkan sokongan rakyat sebagai pertimbangan utama.

Sebaliknya, pihak berkenaan disaran menampilkan pakej yang jelas dan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kewajipan keluar mengundi, Ustaz Syamil berkata, ia mengambil kira maslahat ummah.

“Mengundi boleh menjadi satu kewajipan sekiranya ada maslahat-maslahat yang perlu diselamatkan.

“Tetapi jika seseorang itu melihat undiannya tidak membawa makna kerana calon-calon tidak boleh pakai dan seumpamanya, sekiranya dia boleh mengenal pasti mana yang lebih baik maka dia wajib mengundi.

“Namun, jika ia sama sahaja maka tiada beza kerana ketika itu dia tawaquf, mengambil pendirian tidak mengundi serta tidak memenangkan mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi menasihatkan semua rakyat Malaysia keluar mengundi pada PRU15 kerana ia adalah kewajipan, malah hukumnya boleh menjadi berdosa.

Jelasnya, kengganan mengundi boleh menjadi dosa dalam konteks berdiam diri dalam perkara yang benar atau perkara yang salah.

Pautan Dimensi;

https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/585192973404489

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button