PRN Sarawak: GPS menang selesa kerana pembangkang tak sepakat
Perkembangan politik Semenanjung mungkin pengaruhi keyakinan pengundi

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Situasi pembangkang yang tidak bersedia dan tiada kata sepakat menyebabkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memperoleh kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), hari ini.
Situasi itu sekali gus memberikan keyakinan rakyat bahawa GPS boleh menjamin kepada wujudnya kestabilan sebuah kerajaan, memandangkan gabungan itu adalah penyandang terdahulu, kata Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.
Bahkan, beliau berkata, keputusan PRN kali ini juga tidak mengejutkan, apatah lagi GPS mampu untuk membina manifesto yang meyakinkan melalui 34 janji.
“Antara DAP dan PKR, mereka mempunyai beberapa perbezaan pandangan, walaupun tiada masalah, tetapi pada persepsi rakyat mereka melihat pembangkang tidak ada kesatuan yang seutuh sebagaimana ditunjukkan GPS.
“Dan Pakatan Harapan tidak dapat berunding dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB), satu lagi koalisi yang masuk bertanding dalam pilihan raya Sarawak,” katanya dalam Analisis Keputusan PRN Sarawak di TV Pertiwi, malam ini.
Dr Mazlan berpendapat, keputusan itu juga turut dipengaruhi daripada perkembangan politik yang berlaku di Semenanjung sejak tahun 2018, susulan beberapa kali pertukaran kerajaan dan krisis politik.
Katanya, keadaan itu mungkin memberi petunjuk kepada rakyat Sarawak bahawa dalam mendepani lima tahun akan datang, negeri itu memerlukan satu gabungan politik yang stabil.
“Dan mereka (rakyat) melihat tiada parti setakat ini boleh menunjukkan mampu bersatu dalam konteks ukhwah permuafakatan politik kecuali GPS.
“Maka, sebenarnya GPS masuk pilihan raya ini langkah kanan kerana walaupun asasnya 12 parti dan ratusan calon Bebas bertanding, tetapi pertandingan hanyalah tiga parti iaitu GPS, PH dan PSB.
“Pertembungan antara parti-parti pembangkang sesama sendiri ini sebenarnya memberi kelebihan kepada GPS,” katanya.
GPS berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga dengan 57 kerusi setakat jam 9.30 malam ini.
Gabungan itu terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.
GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1).
Seramai 30 calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.