Berita Utama

PRU15: BN tetap pendirian bergerak sendirian

Tidak mahu terikat dengan mana-mana parti lain: Tok Mat

SEREMBAN, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO tetap dengan pendirian untuk bergerak sendirian dan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ini kerana kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 itu mestilah kerajaan yang mendapat majoriti besar sekali gus membawa kepada kestabilan politik selain berpegang kepada resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang tidak mahu kerjasama dengan parti lain.

“Jelas sekali UMNO ambil jalan untuk kita berseorangan (PRU15) dan tidak lagi terikat mana-mana parti, kita tidak mahu sebarang ikatan yang boleh mengekang tetapi apa jua rundingan atau ikatan adalah selepas PRU15.

Kalau parti tidak boleh buat maka elok difikirkan bersama atau membuat ikatan dengan parti yang boleh dijadikan rakan kongsi untuk bina kerajaan yang kuat, itu juga antara usul dicadangkan dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada soal kedudukan Perdana Menteri (PM) dibincangkan dalam persidangan itu, Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata tiada sebarang usul mengenai kedudukan PM dibangkitkan selain meletakkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Tak ada apa-apa perbincangan, tidak timbul soal sokong atau tidak sokong PM, kita ikut keputusan Majlis Tertinggi tempoh hari, kita beri mandat kepada lima orang kepimpinan tertinggi parti, namun terpulang kepada Bahagian masing-masing (usul kedudukan PM), kita tidak berikan apa-apa guideline (garis panduan),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perkara berkaitan pemilihan parti sama ada diadakan sebelum atau selepas PRU-15 akan turut diputuskan selepas perbincangan bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO terlebih dahulu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button