Berita UtamaDunia

Angka korban Taufan Rai di Filipina meningkat kepada 75 orang

Komunikasi, bekalan elektrik terputus akibat ribut

MANILA, 14 Jamadilawal 1443H, Ahad – Sekurang-kurangnya 75 orang dilaporkan terbunuh akibat taufan paling kuat melanda Filipina tahun ini.

Lebih 300,000 orang meninggalkan rumah mereka dan pusat peranginan di tepi pantai ketika Taufan Rai melanda wilayah selatan dan tengah kepulauan itu.

Ribut memutuskan komunikasi dan elektrik di banyak kawasan, mencabut bumbung dan menumbangkan tiang elektrik konkrit.

Menerusi akaun Facebook, gabenor destinasi pelancongan terkenal Bohol, Arthur Yap berkata, datuk bandar di pulau yang musnah itu melaporkan 49 kematian di bandar mereka.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang dilaporkan kepada 75, menurut angka rasmi terkini.

Yap berkata, 10 orang masih hilang di pulau itu dan 13 cedera selepas ribut melanda pada Khamis yang membawa kelajuan angin 195kmj.

“Komunikasi masih lemah. Hanya 21 datuk bandar daripada 48 telah menghubungi kami,” kata Yap sekali gus menimbulkan kebimbangan angka kematian boleh meningkat di wilayah yang dilanda banjir.

Ribuan anggota tentera, polis, pengawal pantai dan bomba dikerahkan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas.

Sebuah kapal Tentera Laut Filipina yang membawa barangan dan bantuan lain akan berlepas ke Bohol pada hari Isnin, kata Yap, selepas beliau mengisytiharkan keadaan bencana di pulau itu.

Terdapat juga kemusnahan yang meluas di pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao – yang menanggung beban Rai apabila ia melanda Filipina. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button