Berita Utama

Cadangan Koo Ham memang kurang ajar

Perundangan Islam mungkin dibakulsampah kerana rai pendapat bukan Islam

BANGI, 16 Jamadilakhir 1445H, Jumaat – Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyelar cadangan wakil rakyat DAP, Ngeh Koo Ham supaya pakar bukan Islam dilantik bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Beruas itu sebagai kurang ajar kerana cuba mencampuri urusan umat Islam dan perundangan Islam di negara ini.

“Kalau apa sahaja yang dirasakan boleh mencetuskan konflik, maka mesti kena libatkan semua?

“Dah kalau apa jua berkenaan Islam kamu anggap sebagai boleh mencetuskan konflik, maka orang bukan Islam mesti masuk campur. Begitukah?,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Koo Ham dipetik berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Mengulas lanjut, Aminuddin mempersoalkan jika orang bukan Islam sudah mencampuri perundangan Islam, maka bagaimana kedudukan agama Islam di negara ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan dalil al-Quran dan Hadis serta disiplin ilmu perundangan Islam akan dibakul sampahkan sahaja kerana ingin merai pendapat bukan Islam demi keharmonian.

“Sekali gus, perundangan Islam di Malaysia dicarik-carik jadi cumpang camping sehingga punah.

“Apabila punah nanti mungkin ada yang akan berkata perundangan Islam sudah tidak relevan, maka kita hapuskan terus atau jadikan semua itu sebagai undang-undang sivil,” katanya.

Menurut Aminuddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyeru UMNO supaya turun ke akar umbi orang Melayu dan menerangkan mengenai DAP serta kerjasamanya.

“Mungkin inilah yang PMX harapkan. Selamat maju jayalah, atau bak kata orang putih ‘good luck’.

“Apa-apa pun, sebenarnya saya sangat berharap agar ahli-ahli Parlimen UMNO dapat berfikir secara waras dan segera meninggalkan DAP. Apa makna duduk dalam kerajaan kalau Islam dan Melayu dirobek-robek,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button