Pendapat

Fokus kepada Bumiputera Sarawak dan Sabah bukan MCA

MCA tidak bawa apa-apa faedah kepada kerajaan sedia ada

KEMENANGAN besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak malam tadi, sebelum itu, kejayaan besar Bumiputera dalam PRN Sabah, memberikan gambaran jelas bahawa Bumiputera di sana, mahu bersama kerajaan sedia ada, sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Ingatan saya atas semua kejayaan ini, terutama kepada Kerajaan Pusat, supaya perlu memberikan perhatian serius kepada Bumiputera Sarawak dan Sabah, bukan melayan MCA seperti anak emas.

Percayalah, MCA yang akan mengadakan AGM hari ini, tidak membawa apa-apa faedah kepada kerajaan sedia ada, melainkan menumpang tuah di atas kemenangan bertanding di kawasan majoriti Melayu.

MCA, sejak dahulu lagi, bukan deposit tetap kepada kerajaan. Terlalu menumpukan MCA, kerana mahu kelihatan berwarna, ibarat menyimpan biawak hidup. Saya harap ketika AGM MCA, pemimpin kita tidak menawarkan bulan dan bintang kepada mereka, demi untuk mendapat secebis undi, kerana itu hanya ilusi. Jangan harap undi ultra kiasu akan beralih.

Fokuslah kepada Bumiputera Sarawak dan Sabah. Gabungan keduanya dari segi saiz jauh lebih besar daripada Semenanjung Tanah Melayu. Pembangunan di sana perlu diberikan keutamaan.

Sejak dahulu GPS dan GRS tetap setia bersama kerajaan sedia ada. Justeru, jagalah Sarawak dan Sabah kerana mereka adalah benteng Bumiputera yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan negara ini.

Kejayaan GPS dan GRS bermakna, kejayaan Kerajaan Pusat. Jika GPS menarik diri dan GRS menarik diri, bila-bila masa kerajaan sedia ada akan tumbang.

Sudah sampai masanya kita perlu berpolitik mengambil kira ketegasan Bumiputera Sarawak dan Sabah.

Pengajaran kemenangan PRN Sarawak malam ini, khas kepada UMNO, PAS dan kita semua.

UMNO, setelah lebih 64 tahun merdeka, masih tidak mahu mengakui bahawa MCA melalui sekolah vernakular adalah antara faktor yang menjatuhkannya dan satu bentuk ugutan politik yang direlakan.

PAS pula lain pendiriannya selepas dan sebelum bersama kerajaan, lebih tahun 64 tahun merdeka, tidak melihat aspek sekolah vernakular ini antara penghalang dakwah atas faktor jadi tembok interaksi sosial dan bahasa. Masih melihat dakwah itu adalah dalam bentuk individu ke individu bukannya dalam konteks pembudayaan.

Lebih malang lagi ada sebahagian daripada kita lebih 64 tahun merdeka, masih melihat kehakisan nilai adalah suatu yang mesti digadaikan untuk memenangi hati bukan Bumiputera.

Melayu sokong BN di mana sahaja. Malangnya, sebahagian besar orang Cina hanya sokong Cina sahaja. Beza sungguh, politik Bumiputera dengan politik Melayu.

Satu lagi, bila nak tukar ratib, sebut sahaja integrasi nasional, maka terbitkan Melayu, Cina, India. Bila lagi nak sebut Melayu, Iban, Kadazan, Dayak dan lain-lain.

Ingat, persaudaraan kandung tak akan dapat ditandingi persaudaraan buatan.

UMNO jangan sama sekali lupa, apabila senang, ramai yang nak bersama UMNO. Namun, bila susah, siapa yang UMNO harapkan, kalau bukan PAS, GPS dan parti Bumiputera juga. Itupun kekayaan negara jajaran Bumiputera puluhan tahun dilimpah di negeri bukan Bumiputera.

Satu lagi perkara, ini nampak macam kelakar, tetapi perlu difikirkan, sudah sampai masanya pimpinan UMNO, PAS dan parti lain Semenanjung, galakkan anak mereka kahwin dengan anak pimpinan di Sarawak dan Sabah.

Perkahwinan antara etnik Bumiputera perlu menjadi agenda. Kita mahu dengar, bila sebut integrasi nasional, ratibnya adalah Melayu, Iban, Kadazan, Dusun, Dayak dan lain-lain, baru diikuti Melayu, Cina, India.

Perkara ini nampak kelakar, tetapi amat penting demi kelangsungan benteng politik kebumiputeraan.

Politik keterlaluan terlalu kemarukkan undi ultra kiasu yang menang atas ehsan undi Melayu ibarat menghulur daging ke mulut buaya. Mereka tidak pernah setia. Bila susah mereka lari. Apakah kita tidak pernah belajar daripada kekalahan PRU14?

 Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button