Berita Utama

Jalan utama ke KLIA ditutup akibat banjir

Operasi penerbangan, perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi seperti biasa

SEPANG, 14 Jamadilawal 1443H, Ahad – Jalan-jalan utama menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup akibat banjir.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam ciapan Twitternya hari ini, mereka yang ingin ke KLIA dan klia2 boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan keluar di tol KLIA.

“Kepada penumpang dan kakitangan lapangan terbang, jalan-jalan Persekutuan utama ke KLIA dari Putrajaya/Cyberjaya/Dengkil/Banting dan Nilai ditutup berikutan banjir.

“Mereka yang datang dari kawasan lapangan terbang, anda boleh mengakses Lebuhraya Elite melalui Serenia City atau menggunakan Jalan Pekeliling berhampiran Litar Antarabangsa Sepang (SIC)/Kuarters Kakitangan KLIA,” menurut MAHB.

MAHB memberitahu operasi penerbangan dan perkhidmatan pengangkutan awam di KLIA beroperasi seperti biasa.

Semalam, lima laluan di daerah Sepang terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan antaranya di Jalan Labu ke Taman Dataran Abadi, Jalan Kota Warisan ke Bandar Baru Salak Tinggi dan Jalan Bukit Changgang ke Bandar Baru Salak Tinggi.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati laluan Jalan Labohan Dagang-Nilai dekat Kota Warisan masih ditutup setakat 1 tengah hari tadi akibat banjir.

Bencana itu melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pemandu terkandas akibat jalan raya sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan untuk menggerakkan aset ke kawasan dilanda banjir bagi memastikan penduduk dapat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button