Berita UtamaDunia

Palestin desak PBB, AS hentikan keganasan peneroka Israel

Gesa aktifkan sistem perlindungan elak terus ditindas zalim oleh pengganas

TEBING BARAT, 14 Jamadilawal 1443H, Ahad – Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) menghentikan keganasan peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan memberi perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin.

Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat dalam satu kenyataan berkata, PA menggesa pentadbiran AS menekan Israel sebagai kuasa penjajah untuk menghentikan keganasan, serangan serta jenayah peneroka yang dilakukan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdaya, bandar dan kampung mereka.

Kementerian itu menggesa Setiausaha Agung PBB segera mengaktifkan sistem perlindungan antarabangsa untuk orang awam Palestin di bawah pendudukan Israel.

Dalam kenyataan itu, kementerian PA mengecam peningkatan serangan sistematik oleh peneroka yang berlaku hari ini terhadap bandar dan kampung Palestin, terutamanya di kampung Nablus di Qaryut dan Burqa.

Selain itu, Kementerian PA juga mengutuk serangan peneroka Israel ke atas kejiranan Sheikh Jarrah dan tempat lain – yang menyebabkan puluhan cedera.

“Kumpulan pengganas Yahudi bersenjata dilindungi oleh tentera pendudukan Israel, melepaskan tembakan secara langsung dengan niat untuk membunuh warga Palestin yang tidak bersenjata. Mereka menyerbu rumah, memeriksa mereka dan cuba menculik rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett turut dikaitkan dengan tanggungjawab penuh dan langsung ke atas keganasan peneroka, serta akibat berbahaya dan kesan terhadap keadaan di rantau itu.

“Kementerian telah berhati-hati berhubung peningkatan keganasan peneroka Israel dan membangkitkan perkara ini dengan beberapa pihak, namun tiada pencegahan dilaksanakan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button