Berita UtamaDunia

Mahkamah Israel perintah roboh masjid di Baitulmaqdis

Palestin rayu sokongan Liga Arab, OIC lindungi tempat ibadah umat Islam

BAITULMAQDIS, 27 Muharram 1442H, Selasa – Mahkamah Israel mengeluarkan perintah perobohan sebuah masjid di Silwan, Baitulmaqdis Timur yang diduduki kerana ‘tidak mendapat permit pembinaan’, kata penduduk setempat.

Pihak berkuasa negara haram itu memberi penduduk 21 hari untuk mencabar perintah berkenaan atau arahan tersebut akan dilaksanakan.

Sebagai tindak balas, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama di Gaza mengeluarkan kenyataan yang diedarkan media Palestin, mengecam perintah itu dan memberi amaran kepada Israel berhubung tindakan berkenaan.

Kementerian juga menggesa rakyat antarabangsa, Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk melindungi tempat suci dan ibadat muslim di Baitulmaqdis.

Dibina pada tahun 2012, masjid Qaqaa Bin Amr di bandar Silwan boleh menampung ratusan jemaah. Perintah perobohan sama dikeluarkan pada tahun 2015 bagaimanapun tidak pernah dikuatkuasakan.

Kebelakangan ini, peneroka haram Israel merampas kawalan puluhan rumah Palestin di Silwan – yang berdekatan dengan perkarangan Masjid al-Aqsa.

Pihak berkuasa negara penjajah itu juga meningkatkan kempen perobohan di Baitulmaqdis dalam beberapa minggu, merobohkan puluhan rumah Palestin terutamanya di Silwan.

Menurut kumpulan penyokong Israel, Ir Amim, pihak berkuasa merobohkan kediaman di kawasan Palestin di Baitulmaqdis Timur pada kadar jauh lebih tinggi pada tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Dalam satu laporan, kumpulan itu berkata, 104 unit rumah dirobohkan pada 2019 berbanding 72 unit tahun sebelumnya.

Israel mendakwa rumah-rumah yang dirobohkan dibina secara tidak sah dan pemusnahannya disahkan oleh mahkamah.

Sementara rakyat Palestin berkata, mereka menghadapi krisis perumahan yang teruk disebabkan keengganan Israel mengeluarkan permit bangunan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button