Berita Utama

Ambil masa baik pulih bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir

Penduduk perlu buat semakan peralatan elektrik dengan kontraktor berdaftar

KUALA LUMPUR, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Ketua Pegawai Perkhidmatan Rangkaian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, bekalan elektrik di kawasan yang terjejas banjir dijangka mengambil masa untuk pulih.

Justeru, beliau berkata, buat masa sekarang semua penduduk yang terjejas digalakkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terlebih dahulu seperti saranan kerajaan bagi mengelak risiko renjatan elektrik.

“Penduduk hanya perlu pulang ke rumah mereka selepas diarahkan kerajaan dan selepas disahkan selamat bagi mengelak sebarang risiko,” katanya.

Menjelaskan isu membaikpulih bekalan elektrik, Wan Nazmy berkata, petugas perlu memeriksa dan menguji untuk memastikan tiada kerosakan pada kabel atau tiang elektrik.

“Jika ada kerosakan seperti tiang tumbang atau hanyut, kabel rosak atau mendapan tanah, tempoh pemulihan perlu dilanjutkan untuk kerja membaiki.

“Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana pada masa sama penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

“Ini bagi mengelak risiko renjatan jika bekalan elektrik disambung semula,” katanya.

Beliau berkata, sebelum kerja baik pulih dibuat, penduduk perlu terlebih dahulu membuat pemeriksaan di rumah mereka dengan mengamalkan panduan keselamatan elektrik ketika dan selepas banjir, demi keselamatan.

Pemeriksaan itu perlu dilakukan oleh kontraktor elektrik berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

“Orang ramai perlu memastikan pemasangan suis dan perkakas elektrik yang mereka tidak sempat alih dan pindahkan atau yang mungkin tenggelam, dibuat pemeriksaan dan diuji terlebih dahulu oleh pihak kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, sebelum digunakan.

“Semakan kontraktor pendawaian yang berdaftar boleh dibuat di laman web agensi berkenaan. Selepas penduduk di kawasan berkenaan selesai membuat semakan, barulah TNB dapat menyalurkan semula bekalan,” katanya.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama wakil penduduk seperti badan pengurusan di kawasan masing-masing.

“Jadi, tempoh untuk menyambung semula bekalan elektrik di kawasan yang terjejas bergantung kepada kesediaan penduduk membuat semakan di rumah mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button