Berita Utama

Banjir: Kerajaan digesa selesai masalah sistem perparitan

Parit tersumbat, selut dari tapak pembinaan burukkan keadaan berpuluh kali ganda

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kerajaan digesa mengkaji semula sistem perparitan di kawasan-kawasan bandar yang dipercayai salah satu punca utama berlakunya banjir besar.

Apabila hujan lebih daripada biasa, parit dan longkang yang tersumbat serta sungai yang cetek akibat selut daripada aktiviti pembinaan akan memburukkan keadaan berpuluh kali ganda.

Atas sebab itu, Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh bersikap lepas tangan dan mengharapkan bantuan Kerajaan Persekutuan sahaja. 

“Dengan bajet negeri yang terbesar di Malaysia iaitu sebanyak RM2 billion daripada hasil cukai rakyat Selangor, kerajaan negeri perlu selesaikan masalah banjir. 

“Kebanyakan parit, longkang dan sungai adalah di bawah pihak berkuasa tempatan dan di bawah kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengimbas kembali situasi banjir di Kelantan pada tahun 2014, beliau berkata, mangsa yang dicatatkan adalah melebihi 200,000 orang dengan 21 kematian dan kerosakan harta benda melebihi RM2 billion.

Manakala di Selangor kini, katanya, berdasarkan laporan akhbar daripada sumber kerajaan menyatakan bahawa jumlah mangsa banjir di pusat-pusat perpindahan adalah seramai kurang dari 10,000 orang. 

“Namun, saya anggarkan jumlah sebenar mangsa adalah lebih ramai dari ini. 

“Dan oleh kerana banjir ini berlaku di kawasan bandar yang berketumpatan tinggi, saya anggarkan jumlah kerosakan harta benda persendirian mahupun awam di Selangor pada kali ini juga adalah lebih tinggi dari di Kelantan iaitu melebihi RM2 billion.

“Kadar kematian berbanding jumlah mangsa juga dianggarkan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih memeritkan adalah musibah banjir ini berlaku di kala rakyat di Selangor baru sahaja mahu mula memulihkan keadaan ekonomi mereka yang terkesan teruk akibat wabak COVID-19. 

Justeru, kerajaan perlu membantu dengan lebih banyak lagi tanpa banyak sekatan mahupun alasan. 

“Ramai rakyat di Selangor bekerja, berniaga dan berhutang bank. Di masa inilah jika kerajaan ingin membantu melalui kementerian kewangan, moratorium bank, KWSP dan lain-lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button