Berita Utama

BERJASA gerakkan sukarelawan bantu mangsa banjir

50 sukarelawan gotong-royong bersihkan masjid

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Ramai yang terjejas akibat kejadian banjir terutama sekitar Shah Alam dan Klang.

Rumah, barang peribadi serta perabot musnah ditenggelami air dan terpaksa dibersihkan kerana diselaputi lumpur, malah ada juga yang musnah.

Berikutan itu, Parti BERJASA bahagian Shah Alam menghantar sukarelawannya untuk membantu mangsa serta membersihkan kawasan sekitar yang terjejas.

Ketua Pemuda BERJASA Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, seramai 50 sukarelawan turun padang bagi membersihkan Masjid Al-Ehsan di Seksyen 24 Shah Alam yang dinaiki air.

 

Katanya, sukarelawan terdiri daripada 30 orang Wira Watan BERJASA serta 20 lagi penduduk setempat.

“Alhamdulillah setelah lima jam kami berkampung di sini dan selesai bergotong-royong,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi berkata, pasukan sukarelawan seterusnya akan memindahkan dan membawa keluar penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang terkandas akibat banjir sejak Sabtu.

Keadaan banjir di Lembah Klang terutama Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.

Hujan berterusan kadang kala lebat selama dua hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button