Berita Utama

Cabar MCA tanding kawasan majoriti Cina

UMNO jangan ulang kesilapan, berpijaklah di bumi nyata

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – MCA sewajarnya bertanding di kawasan majoriti Cina sekiranya benar dakwaan parti berasaskan kaum itu mendapat kembali sokongan masyarakat berkenaan.

Mengesyorkan perkara itu, pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, jika ternyata sokongan Cina telah beralih kepada BN, MCA disaran bertanding di kawasan majoriti besar Cina menentang DAP.

Katanya, itulah kawasan tradisi turun temurun MCA dan Gerakan, bahkan medan sebenar parti itu untuk membuktikan dakwaan bahawa sokongan orang Cina telah kembali kepada BN.

“Jika BN letak juga MCA di situ (kawasan majoriti Melayu), saya harap PAS masuk bertanding.

“Saya yakin PAS boleh menang. PAS tidak perlu menggunakan lambang selain lambang PAS. Lambang PAS sudah cukup gagah. Jika PAS masih malu alah, BERJASA perlu mengisi kekosongan tersebut. Tidak mustahil boleh menang,” katanya.

Selain itu, Ridhuan Tee mengingatkan bahawa kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran bagi menunjukkan bahawa sokongan Cina telah kembali kepada BN.

Beliau turut menggesa pemimpin UMNO untuk berpijak di bumi yang nyata dalam menyatakan hasrat memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.

“Jangan ulangi kesilapan lagi. Bila lemah, teringat rakan dan taulan. Bila kuat mula lupa. Bila lemah ingat PAS, ingat GPS. Tetapi bila kuat, Melayu, Cina India. Retorik ini perlu berubah.

“Dalam kata lain, MCA tidak menjamin kekuatan UMNO, tetapi GPS, GRS, PAS dan lain-lain, itulah sumber kekuatan.

“Jadi, mulakan Melayu, Bumiputera, Iban, Kadazan, Melanau, Murut, Dayak, lepas itu baharulah Cina, India,” katanya.

UMNO masih belum kenal siapa kawan, siapa lawan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button