Berita Utama

Kelantan sumbang RM100,000 kepada Selangor dan Pahang

Ringankan beban mangsa banjir melalui Tabung Serambi Mekah

KOTA BHARU, 15 Jamadilawal 1443H, IsninKelantan bersedia menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada dua buah negeri terjejas teruk banjir iaitu Selangor dan Pahang.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu dari Tabung Serambi Mekah yang menunjukkan solidariti pihaknya bersama negeri terjejas dengan bencana.

“Kerajaan negeri juga merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang hilang tempat berteduh dan musnah harta benda.

“Semoga usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemindahan dan pemulihan pasca banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi data yang dikongsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pahang membabitkan 26,821 individu daripada 7,172 keluarga.

Jumlah mangsa banjir Pahang itu termasuk 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi selain 1,503 warga emas serta 293 orang kurang upaya (OKU).

Manakala jumlah mangsa banjir di lapan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 44,652 orang daripada 13,487 keluarga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button