Berita Utama

Keputusan PRN ‘hint’ rakyat Sarawak mahu pembangunan bertaraf negeri maju

Pengundi tolak mentah-mentah politik cauvinis, perkauman DAP

KUCHING, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak memberi mesej jelas rakyat mahukan sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil.

Ia adalah terjemahan kepada harapan rakyat yang mahukan pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi bertaraf negeri maju, di mana kemakmuran negeri dikongsi seadil-adilnya. 

Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, masyarakat pedalaman, orang ulu dan warga rumah panjang tentu ingin bersama secara aktif di tengah-tengah arus pembangunan negeri dan negara.

“Juga jelas daripada majoriti GPS yang sangat besar ini ialah politik perpaduan kaum dan penyatuan ummah yang merupakan prasyarat utama untuk keharmonian dan ketenteraman seluruh rakyat Sarawak. 

“QIAM yakin rakyat Sarawak sudah cukup matang  mengambil iktibar perpecahan parti-parti di Semenanjung telah banyak merugikan rakyat dan negara. Pembangunan ekonomi menjadi tergugat. 

“Mungkin inilah juga ilmu yang mesti dipelajari oleh pemimpin-pemimpin parti politik Semenanjung bahawa perpaduan dan penyatuan ummah adalah kunci kepada segala agenda negara yang seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, kekalahan besar parti-parti pembangkang juga membawa mesej yang amat jelas bahawa politik cauvinis dan perkauman DAP dan kuncu-kuncunya ditolak mentah-

 mentah oleh rakyat yang sekarang ini kian berpendidikan. 

“Sebelum ini, mereka ditolak di Melaka. Semoga rakyat Semenanjung juga mengikut jejak langkah rakyat Sarawak dan Melaka yang jelas menolak DAP.

“QIAM mengharapkan kepimpinan politik di Semenanjung mengambil iktibar sebaik mungkin dari kedua-dua Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Melaka untuk mencorakkan jajaran penyatuan ummah yang terbaik demi masa hadapan negara tercinta ini. 

“Apa juga jajaran yang dibentuk, perpaduan nasional hendaklah sentiasa dijulang tinggi,” katanya.

Sabtu lalu, GPS mencatat kemenangan besar 76 kerusi dalam PRN, yang memberi tamparan hebat ke atas Pakatan Harapan (PH) di mana DAP hanya memenangi dua kerusi – Pending dan Padungan.

Kejayaan GPS itu mengatasi kemenangan 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN Sarawak yang ke-11.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button