Berita UtamaIstimewa

Buku teks Sejarah: Indoktrin halus komunis perjuang kemerdekaan?

'Penerapan konsep Malaysian Malaysia, tidak tonjol perjuangan agamawan memisahkan agama dan politik'

BANGI, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang digunakan sekarang bukan sahaja tidak menonjolkan sejarah Malaysia dengan betul dan tepat, tetapi skopnya juga terlalu luas – melibatkan sejarah dunia dan Asia Tenggara, tegas pakar sejarah negara, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Beliau yang mengkaji buku teks Sejarah itu dari setiap muka surat dan ayat demi ayat melahirkan rasa kecewa kerana pengolahannya begitu longgar sehingga membuatkan penceritaan sejarah negara menjadi ‘cair’.

Perkara itu dapat dilihat dalam Bab 2 – Kebangkitan Nasionalisme – yang mana ia menerangkan tentang gerakan nasionalisme sedunia kemudian memperincikan gerakan nasionalisme kiri zaman pramerdeka di Tanah Melayu yang prokomunis.

Prof Ramlah mendakwa, banyak perkara yang cuba diketepikan dan disembunyikan dalam penghuraian sejarah politik Tanah Melayu, terutama antara tahun 1945-1948.

“Tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan daripada golongan agamawan, orang surat khabar dan persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu yang disatukan oleh UMNO tidak diberi pendedahan yang wajar,” dakwanya seperti dilapor MalaysiaGazette, hari ini.

Akibatnya, buku itu menanamkan benih bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah seburuk mana seperti yang ditohmahkan selama ini.

Sementara dalam Bab 3 – Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita – beliau mendakwa, skop perbincangan adalah sangat luas sekali kerana menceritakan konflik dunia sejak Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Bab 4 pula – Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menjadi bahagian penting dalam sejarah Malaysia tetapi tidak dititikberatkan.

Menyentuh kandungan Bab 5 – Persekutuan Tanah Melayu – Prof Ramlah mempersoalkan, penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal terlalu terperinci dalam tajuk-tajuk berkaitan seperti Gerakan Nasionalis Radikal Melayu; Gabungan Putera-AMCJA; Sumbangan Nasionalis Radikal; Cadangan Putera AMCJA dan Perlembagaan Rakyat.

Paling menonjol adalah keratan akhbar Harta yang berjudul Kemuncak Perjuangan Putera AMCJA yang dilihat tiada apa-apa signifikan kecuali untuk menerapkan ideologi.

Dakwanya, pendedahan yang terlalu terperinci mengenai tokoh gerakan nasionalis Melayu radikal dan sumbangan mereka akan mengelirukan pelajar, pada hal mereka tidak terlibat dengan rundingan mahupun penolakan dasar British secara terang-terangan seperti yang dilakukan golongan agamawan, nasionalis dan UMNO.

Dalam Bab 6 – ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat menerangkan secara terperinci mengenai kemasukan pengaruhi komunis dan penubuhan parti komunis serta kemasukan komunis ke negara-negara jiran yang lain.

Prof Ramlah mempersoalkan tujuan pendedahan kemasukan komunis sangat banyak kepada pelajar.

“Pengolahan begini kelihatan usaha mengindoktrin secara halus kepada pelajar bahawa komunis juga turut memperjuangkan kemerdekaan dan menunjukkan ia perlu diterima. Hakikat sebenar orang Melayu melalui UMNO yang menggerakkan usaha kemerdekaan.

“Orang yang tidak ada peranan diadakan. Yang menentang dijadikan hero. Parti Komunis Malaya menyerang balai polis ditulis tetapi berapa banyak kejayaan yang dicapai oleh askar-askar Melayu ketika berdepan dengan komunis tidak ditulis.

“Bab ini menunjukkan semua fakta-fakta tidak ada makna dalam tajuk. Bab ini langsung tidak tidak memasukkan perjuangan orang Melayu. Penerapan konsep Malaysian Malaysia diterapkan daripada awal. Tidak menonjolkan perjuangan agamawan untuk memisahkan agama dan politik,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button