Pendapat

Membantu mereka yang kesusahan

Sumbangan kepada orang susah akan jadi bekalan di akhirat

1. DALAM tempoh kesusahan melanda negara ini, marilah bersama-sama kita membantu mereka yang kesusahan, tidak kira sama ada bantuan secara fizikal, sumbangan kewangan atau permohonan doa kepada Allah.

2. Ketahuilah bahawa Allah akan mempermudahkan urusan hamba yang membantu orang lain yang di dalam kesusahan. Sabda Rasulullah:

وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

“Barangsiapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)

3. Sikap membantu orang yang kesusahan ini adalah sifat orang-orang yang beriman. Yahya bin Muaz seorang tokoh sufi kurun ketiga pernah berpesan:

حبك الفقراء من أخلاق المرسلين ، وإيثارك مجالستهم من علامة الصالحين ، وفرارك من صحبتهم من علامة المنافقين

“Kecintaanmu pada orang-orang fakir miskin adalah akhlak para Nabi, menyantuni mereka dengan duduk bersama mereka adalah tanda-tanda orang yang soleh dan menjauhi mereka daripada mendampingi mereka adalah tanda-tanda orang munafik.” (Ittihaf Sadah al-Muttaqin)

4. Pernah suatu hari Rasulullah didatangi oleh satu kumpulan manusia yang sangat miskin. Mereka berkaki ayam, pakaian dan penampilan mereka menggambarkan kesusahan hidup mereka. Sahabat Nabi yang menyaksikan peristiwa ini berkata:

فتمعر وجه رسول الله صلى الله عليه وسلم لما رأى بهم من الفاقة

“Berubah wajah Rasulullah bilamana melihat keadaan susah yang mereka hadapi.” (HR Muslim)

5. Begitulah Rasulullah. Pemimpin yang sangat sensitif melihat kesusahan rakyat sehingga dapat dikenali dari riak wajahnya. Rasululllah segra menghimpunkan para sahabat (setelah selesai solat) dan Baginda menyarankan agar golongan susah ini dibantu.

6. Lantas Rasulullah membaca ayat dari surah al-Hasyr yang sering kita dengar dalam solat:

اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ

“Bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dipersiapkan buat dirinya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah” (QS. Al-Hasyr: 18).

7. Mengapa ayat Surah al-Hasyr ini dipilih? Seakan Rasulullah ingin menjelaskan kepada kita bahawa sumbangan yang kita berikan kepada orang-orang yang susah akan menjadi bekalan yang pasti buat kita di akhirat kelak. Dan membantu orang susah adalah sebahagian dari sifat takwa.

8. Begitulah kecintaan Rasulullah untuk membantu dan duduk bersama orang-orang yang susah. Rasulullah bukan sahaja mempunyai sifat kasih yang tinggi pada mereka malah menyeru para sahabat agar membantu saudara mereka ini.

Semoga Allah membimbing kita

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button