Berita Utama

Pemilihan parti sebelum PRU15 bakal hancurkan UMNO

Sejarah menunjukkan berlaku keretakan perpaduan, ahli parti berpuak-puak akibat perebutan jawatan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – UMNO akan menyaksikan kejatuhan partinya sekali lagi jika pemilihan parti dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, sejarah dan pengalaman telah menunjukkan bahawa setiap kali pemilihan parti atau pasca pemilihan, UMNO akan berpecah, perpaduan retak serta ahlinya berpuak-puak. 

Pemikir dan AJK Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, itu semua berlaku akibat perebutan jawatan yang sengit di dalam parti.  

“Akibat kempen bermatian merebut jawatan di semua peringkat kepimpinan, parti berpecah, ahli-ahli menjadi berpuak-puak. Permusuhan politik tidak mudah hilang.  

“Walaupun api sudah padam, tapi bara kemarahan dan permusuhan berlarutan. Fikirkan, apa akan jadi kepada UMNO dalam persediaan jentera parti di semua peringkat di lapangan untuk berdepan PRU15. Hancur.

“Yang menang dapat jawatan, yang kalah dipinggirkan. Pemimpin yang hilang jawatan secara perlahan akan hilang semuanya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman menunjukkan bahawa tempoh satu tahun belum tentu dapat memulihkan permusuhan dalaman UMNO setiap kali selepas pemilihan parti.

“Dalam keadaan parti yang berpecah, kesepaduan retak, moral rendah, kurang azam dan semangat, parti menjadi sangat lemah. UMNO tidak kukuh. 

“Bayangkan, jika UMNO berada dalam keadaan sedemikian, diikuti dengan pelaksanaan PRU15, adalah amat sukar untuk jentera parti berfungsi cekap dan komited,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu pasti akan menjejaskan aktiviti dan program kempen parti kerana tiada kesiapsiagaan yang padu untuk berdepan musuh-musuh politik yang berbulan-bulan membuat persiapan untuk menamatkan hayat UMNO dari bumi ini. 

“Parti yang berpecah dan jentera yang lemah akan kalah dalam pilihan raya,” katanya. 

Justeru, Wan Ahmad mengesyorkan agar UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu untuk tidak sekali lagi mengulangi kesilapan yang mereka pernah lakukan menjelang PRU14 pada tahun 2018.

Beliau berkata, fakta membuktikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak rakyat dalam PRU14 bukan semata-mata kerana dihantui pelbagai masalah dalaman ketika itu iaitu isu rasuah, integriti dan salah guna kuasa.

“Tetapi dalam konteks politik pilihan raya di negara ini, satu faktor utama yang membawa kepada kekalahan mengejut ialah kesilapan strategi kerajaan memilih masa yang terbaik (right time) untuk memanggil PRU14. 

“Peringatan saya kepada pihak kerajaan selaku ‘incumbent’, hendaklah guna hak dan kuasa dengan bijaksana untuk memilih  masa yang terbaik untuk memanggil PRU.

“… supaya UMNO mampu menang besar dalam PRU15 bersama dengan parti-parti rakan yang lain (BN, GPS, GRS) untuk mengekalkan kuasa selepas PRU15 bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk rakyat dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button