Ramalan ‘kepala ribut’ tular di media sosial palsu
Dapatkan maklumat sahih di laman web rasmi MetMalaysia

BANGI, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menafikan maklumat cuaca berkenaan ‘kepala ribut’ yang sedang tular di pelbagai media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
Dalam satu kenyataan, hari ini MetMalaysia menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Mulimedia 1998
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih mengenai ramalan dan amaran cuaca melalui media sosial dan laman web rasmi MetMalaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.
“Justeru kita ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai sesuatu isu,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial.
“Ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.