Berita UtamaDunia

Ratusan ribu rakyat Sudan protes tentera rampas kuasa

124 cedera selepas pihak berkuasa lepaskan gas pemedih mata, bom tangan

KHARTOUM, 15 Jamadilawal 1443H, Isnin – Ratusan ribu rakyat Sudan berarak ke Istana Presiden di ibu negara sebagai protes terhadap rampasan kuasa tentera 25 Oktober lalu.

Protes pada Ahad itu mencetuskan ketegangan apabila pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan.

Pakar perubatan berkata, ramai yang cedera dalam protes berkenaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, kira-kira 124 orang cedera di Khartoum.

Penunjuk perasaan berarak di jalan utama menuju ke istana, sambil melaungkan ‘rakyat lebih kuat dan tidak mungkin berundur’, dengan beberapa lagi dilihat meluru ke tepi jalan untuk mengelak gas pemedih mata.

Pakar perubatan yang turut serta dengan gerakan protes mendakwa, pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata untuk meleraikan protes, menyerang penunjuk perasaan dan mencuri harta peribadi mereka.

Mereka juga mendakwa, pihak berkuasa mengepung hospital dan melepaskan gas pemedih mata di pintu masuk.

Tiada kenyataan segera daripada polis berhubung dakwaan itu.

Walaupun pasukan keselamatan menyekat jambatan di atas Sungai Nil ke ibu negara pada awal Ahad, penunjuk perasaan dapat menyeberangi jambatan yang menghubungkan bandar Omdurman ke tengah Khartoum

Bagaimanapun mereka ‘disambut’ dengan gas pemedih mata, kata saksi Reuters.

Saksi juga menyaksikan penunjuk perasaan melintasi jambatan dari Bahri, utara Khartoum ke ibu negara.

Gambar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan protes berlaku di beberapa bandar lain termasuk Port Sudan, El-Deain, Madani dan Kassala. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button