Berita Utama

UMNO masih belum kenal siapa kawan, siapa lawan

Memberikan kerusi tradisi MCA ibarat hulur daging ke mulut buaya

MULANYA saya ingin ulang tulis gesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Sarawak. Niat itu saya tangguhkan setelah membaca ucapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mahu kekalkan kerusi tradisi MCA, malah mungkin akan ditambah lagi. Masih menjanjikan bulan dan bintang.

Kata pemimpin BN dalam Perhimpunan Agong MCA ke-68, kemenangan PRN Melaka dan Sarawak menunjukkan bahawa pengundi Cina telah kembali bersama BN.

“Kami tidak akan mengganggu kerusi tradisional MCA dan MIC. Kita akan beri beberapa kerusi kepada parti ‘rakan BN’,” katanya.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Pemimpin MCA menggesa kepimpinan BN supaya membenarkan parti itu berdiri di “kerusi tradisi” pada PRU15.
Beliau berkata, MCA telah bersama BN “melalui masa senang dan susah” selama lebih 60 tahun.

Benarkah kata-kata ini? Apakah kita sudah lupa? Mari saya selaku bekas ahli MCA ingatkan.

Dalam Perhimpunan Agung MCA ke-65, 2018, selepas BN kalah teruk dalam PRU14, MCA sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Dalam memberikan respon terhadap tindakan MCA itu, Timbalan Pengerusi BN, Tok Mat berkata: “Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang enggan memikul tanggungjawab atas kekalahan dan membebankan ketika berada dalam kedudukan paling susut,”

“Jangan lupa, banyak kerusi majoriti Melayu yang UMNO serahkan kepada MCA atas semangat BN walaupun MCA tidak menang di kawasan bandar kerana parti itu memang tidak mendapat sokongan masyarakat Cina kawasan terbabit.

“Melalui permuafakatan BN juga MCA mendapat pelbagai jawatan lain, malah melalui BN juga Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman ditubuhkan,” katanya.

Kata Tok Mat lagi, “MCA jangan lupa, pada 1957, paradigma BN itulah yang membidani kelahiran sebuah negara bernama Malaya. Ketika itu, di Amerika Syarikat, orang kulit putih masih tidak membenarkan orang kulit hitam pergi ke sekolah atau menaiki bas yang sama. Sebaliknya, UMNO, MCA dan MIC pada ketika itu sudah menjayakan kesepakatan membentuk sebuah negara berbilang bangsa, agama dan latar belakang,”

Teramat benar sekali respon Tok Mat. Begitulah betapa baiknya orang Melayu terhadap bangsa lain, walaupun bukan datang dari asal usul yang sama.

Hari ini, setelah BN kembali kuat, tiba-tiba pemimpin MCA berkata, BN adalah satu-satunya gabungan yang memperjuangkan hak rakyat dan boleh mentadbir negara dengan betul. MCA telah bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang.

Ditakdirkan nanti BN tidak mencapai kemenangan dalam PRU15, apakah MCA akan berfikir semula untuk bertindak membubarkan BN?

Sekadar mengingatkan BN, MCA bukan rakan setia yang boleh dipercayai. Lebih baik memberikan kepercayaan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kesetiaan Bumiputera jauh lebih bermakna daripada MCA.

PRN Sarawak dua hari lepas telah membuktikan. Bumiputera di sana memberikan sokongan padu kepada GPS. Sokongan kepada GPS turut membawa makna sokongan kepada kerajaan Pusat sedia ada.

Kemenangan PRN Melaka dan Sarawak tidak boleh dijadikan ukuran bagi menunjukkan bahawa sokongan Cina telah kembali kepada BN.

Budaya politik Cina ini sangat licik, Gerakan tidak berkecuali, mereka tidak akan berubah fikiran jika sesuatu tidak memberikan keuntungan. Politik mendapat laba dan keuntungan sudah sebati dalam budaya politik mereka.

Cuba bandingkan dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak, sejak tertubuh Malaysia 1963, mereka sentiasa setia. Kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi, meskipun perhatian lebih diberikan kepada MCA, Gerakan dan MIC.

Bila sebut sahaja integrasi nasional, pemimpin kita selalu meratib, dengan kata-kata warna-warni, Melayu, Cina, India.

Kenapa tidak dahulukan Melayu, Bumiputera (Iban, Kadazan, Dayak, Bidayuh dll), diikuti dengan Cina, India dan lain-lain?

Cuba bandingkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan Bumiputera, sudah tentu jauh lebih baik daripada ultra kiasu ini. Bila Bumiputera Sabah dan Sarawak bertemu, bahasa apa yang menyatukan kalau bukan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menyatukan mereka semua, walaupun etnik mereka begitu rencam.

Cuba bandingkan bila MCA bertemu MCA, Gerakan bertemu Gerakan, MIC bertemu MIC, Gerakan bertemu MCA, dll, bahasa apakah yang akan digunakan?

Saya bukan anti-Cina atau antibangsa sendiri. Tetapi kita ada pilihan lain. Carilah Cina yang jauh lebih setia dan patriotik seperti Parti Cinta Malaysia (PCM).

Fikirkanlah semula untuk memberikan kerusi tradisi kawasan majoriti Melayu kepada MCA, Gerakan dan MIC.

Kerusi tradisi mereka adalah di kawasan majoriti bangsa mereka. Untuk MIC, mungkin agak unik sedikit. Tidak ada kawasan majoriti India, maka boleh berikan kawasan 50-50. Tetapi bukan kawasan majoriti Melayu.

Saya amat berharap, jika BN fikirkanlah kembali dalam memberikan laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu seperti

Kuantan 67 peratus Melayu – MCA kalah
Alor Setar 64 peratus Melayu – MCA kalah
Alor Gajah 61 peratus Melayu – MCA Kalah
Padang Serai 59 peratus Melayu – MCA kalah
Ayer Hitam 58 peratus Melayu – MCA menang undi Melayu
Tanjung Piai 67 peratus Melayu – MCA kalah PRU14, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) hasil daripada undi Melayu
Tanjung Malim 56 peratus Melayu – MCA kalah
Ampang 56 peratus Melayu – MCA kalah
Selayang 53 peratus Melayu – MCA kalah
Raub 52 peratus Melayu – MCA kalah

Semua Parlimen tersebut boleh dimenangi BN jika calonnya adalah Melayu.

Jika BN letak juga MCA di situ, saya harap PAS masuk bertanding. Saya yakin boleh PAS boleh menang. PAS tidak perlu menggunakan lambang selain lambang PAS. Lambang PAS sudah cukup gagah. Jika PAS masih malu alah, BERJASA (ISMA) perlu mengisi kekosongan tersebut. Tidak mustahil boleh menang.

Saya masih boleh menerima jika kerusi tradisi MCA diberikan di beberapa kawasan berikut, walaupun berat hati. Bangi (49 peratus Melayu), Seremban (49 peratus Melayu), Tebrau (48 peratus Melayu), Bentong (47 peratus Melayu), Petaling Jaya (47 peratus Melayu), Pandan (46 peratus Melayu).

Jika ternyata sokongan Cina telah beralih kepada BN, bertandinglah di kawasan majoriti besar Cina menentang DAP, seperti Seputeh, Kepong, Segambut, Batu, Ipoh dan banyak lagi. Itulah kawasan tradisi turun temurun MCA dan Gerakan.

Itulah medan sebenar MCA untuk membuktikan jika ternyata benar, sokongan Cina telah kembali kepada BN.

Kepada pemimpin BN (UMNO), hari ini adalah zaman berterus terang. Berpijaklah dibumi nyata.

Jangan ulangi kesilapan lagi. Bila lemah, teringat rakan dan taulan. Bila kuat mula lupa. Bila lemah ingat PAS, ingat GPS. Tetapi bila kuat, Melayu, Cina India. Retorik ini perlu berubah.

Dalam kata lain, MCA tidak menjamin kekuatan UMNO, tetapi GPS, GRS, PAS dll, itulah sumber kekuatan. Jadi, mulakan Melayu, bumiputera, Iban, Kadazan, Melanau, Murut, Dayak, lepas itu baharulah Cina, India.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button