Berita UtamaDunia

Arab Saudi serang lapangan terbang Yaman

Dakwa operasi sebagai tindak balas kepada ancaman

SANAA, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang antarabangsa ibu kota Yaman yang dikuasai Houthi selepas meminta orang awam segera berpindah.

Media kerajaan melaporkan, gabungan itu meminta pekerja pertubuhan antarabangsa dan kemanusiaan di lapangan terbang untuk segera berpindah kerana telah mengambil langkah undang-undang bagi menangani ancaman secara operasi.

Katanya, gabungan menarik balik perlindungan di tapak tertentu di lapangan terbang dan melakukan serangan ke sasaran tentera yang sah di dalamnya.

“Operasi itu dibuat sebagai tindak balas kepada ancaman dan penggunaan kemudahan lapangan terbang untuk melancarkan serangan rentas sempadan,” katanya.

Jurucakap pakatan diketuai Arab Saudi, Brigadier Jeneral Ahmed al-Asseri berkata, serangan melanda enam tapak termasuk kawasan yang digunakan bagi melancarkan serangan dron, melatih kakitangan, menempatkan jurulatih dan pelatih, dan menyimpan dron.

“Memusnahkan sasaran ini tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas kapasiti operasi lapangan terbang bahkan tidak akan menjejaskan pengurusan ruang udara, trafik udara dan operasi pengendalian darat,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Ketika konflik tujuh tahun itu, tentera gerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran telah menghantar dron dan menembak peluru berpandu ke Arab Saudi, dan pakatan yang diketuai Riyadh telah bertindak balas dengan serangan udara di Yaman.

Ahad lalu, gabungan itu berkata, ia telah memusnahkan dron yang dilancarkan dari lapangan terbang dan menyasarkan orang awam di lapangan terbang Raja Abdullah Arab Saudi di Jizan, berhampiran sempadan Yaman.

Gabungan juga menjalankan operasi ketenteraan di Sanaa untuk memusnahkan bengkel dan gudang dron dan senjata lain, menggesa orang awam mengelak kawasan itu.

Gabungan itu campur tangan di Yaman pada 2015 selepas Houthi menggulingkan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa dari Sanaa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button