Berita Utama

Banjir: AADK gerakkan anggota laksana misi bantuan

Operasi di kawasan terjejas termasuk bersih kediaman kakitangan

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Susulan kejadian banjir kilat di beberapa negeri termasuk Selangor sejak Jumaat lalu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Skuad Antidadah turun padang melaksanakan misi bantuan kepada penduduk terjejas.

Bantuan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Skuad Antidadah yang disertai oleh 53 orang termasuk pegawai AADK.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, usaha itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa.

“Selain komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara ini, sukarelawan Skuad Antidadah juga prihatin terhadap masyarakat dan peka kepada isu semasa bencana yang berlaku khususnya di sekitar Selangor yang terlibat dalam kejadian banjir kilat.

“Atas dasar CSR, AADK menggerakkan Skuad Antidadah Daerah Kuala Selangor, Skuad Antidadah Daerah Hulu Langat, Skuad Antidadah Daerah Sepang dan Skuad Antidadah Daerah Ampang ke beberapa lokasi bagi menghulurkan bantuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sutekno menambah, operasi turun padang berkenaan melibatkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam; Batu 14 dan Sungai Lui di Hulu Langat serta Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang.

“Dalam misi bantuan tersebut, Skuad Antidadah bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan, berganding bahu menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa terperangkap menggunakan bot penyelamat termasuk mengagihkan makanan, barangan asas dan membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Ini termasuklah, menjalankan kerja-kerja sukarelawan menyediakan makanan di Pusat Penjaja Dengkil,” katanya.

Pasukan AADK Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Sosial AADK WP juga mengambil inisiatif turun padang membersihkan kediaman kakitangan yang terjejas banjir kilat di Taman Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button