Berita Utama

Bekalan air di kawasan terjejas pulih 17 peratus

Bantuan alternatif terus digerakkan secara berperingkat

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Bekalan air di beberapa kawasan di Selangor yang terjejas akibat gangguan tidak berjadual berjaya dipulihkan sebanyak 17.7 peratus, setakat 7 pagi tadi. 

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kawasan di Petaling mencatatkan kadar pemulihan 100 peratus, Hulu Langat (22 peratus), dan Kuala Lumpur (10 peratus).

“Operasi LPA Semenyih 2, LPA Sg Langat dan LPA Langat 2 telah dimulakan sepenuhnya. Bagi LPA Cheras Batu 11, proses pembersihan dan penilaian kerosakan susulan kejadian banjir sedang dilaksanakan.

“Jangkaan masa operasi penuh LPA Cheras Batu 11 masih belum dapat disahkan buat masa ini. Penting bagi Air Selangor memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik.

“…ia boleh dikendalikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor, terutama yang melibatkan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Air Selangor memaklumkan, bantuan alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal semasa gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Air Selangor memohon kerjasama pengguna untuk mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sambil mengumpul bekalan air daripada lori tangki air,” katanya.

Pada 19 Disember lepas, Air Selangor terpaksa menutup dua loji rawatan air kerana banjir. Akibatnya, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah – Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat – dilanda gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat melalui laman web https://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

Kemas kini dari semasa ke semasa akan disediakan melalui saluran komunikasinya seperti aplikasi, Facebook, Instagram dan Twitter.

Mereka yang terjejas juga boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh dikemukakan di Pusat Bantuan melalui laman web Air Selangor (https://www.airselangor.com) dan aplikasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button