Berita Utama

BERJASA sasar bantu lebih 6,000 mangsa banjir

Ratusan pek makanan, kit perubatan diagih ke lokasi utama terjejas

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Parti BERJASA menyasarkan membantu lebih 6,000 mangsa banjir melalui 300 sukarelawan termasuk dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bantuan yang disasarkan bukan hanya merangkumi pek makanan, pakaian, kit perubatan dan bot penyelamat, bahkan juga sehingga kerja-kerja pembersihan pasca banjir nanti.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, setakat Sabtu lalu, Unit Tindakan Khas Bencana parti itu telah bergerak mengkoordinasi dan menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Melalui usaha ini, sehingga kini, lebih 800 orang telah berjaya disantuni pasukan sukarelawan BERJASA yang bergerak di semua lokasi-lokasi utama terjejas akibat bencana ini.

“Ratusan bantuan berupa pek makanan, pakaian, kit perubatan dan beberapa bot penyelamat telah bergerak ke lokasi-lokasi utama terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang dilaporkan terus meningkat kepada 68,713 orang, dengan sejumlah 19,063 keluarga kini ditempatkan di lebih 456 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menyifatkan bencana banjir kali ini sebagai yang terburuk melanda negara, Hazwan berkata, pasukan Sukarelawan BERJASA komited untuk memberikan khidmat terbaik kepada mangsa banjir dan berharap usaha itu memberi kelegaan kepada semua.

“Bagi mereka yang terputus bekalan makanan atau memerlukan bantuan berkaitan bolehlah merujuk wakil BERJASA di setiap lokaliti terjejas melalui platform Facebook BERJASA Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button