Berita Utama

Insiden pecah masuk: Mydin ‘halalkan’ demi kelangsungan hidup

Mydin Mart Sri Muda turut musnah akibat banjir

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Meskipun mencuri tindakan yang sangat tidak wajar, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.

Ia susulan insiden pecah masuk pasaraya Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam yang hangat dibincangkan di media sosial.

Ameer menjelaskan, beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan itu.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya.

“Bersama kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik ini pulih seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut rasa simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Katanya, cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button