Berita UtamaDunia

Lira Turki kembali cecah paras tinggi

Kukuh 10 peratus selepas Erdogan perkenal alternatif kewangan baharu

ANKARA, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Lira Turki melonjak tinggi selepas Presiden Erdogan memperkenalkan siri langkah yang meringankan beban mata wang, sambil berikrar meneruskan dasar kadar rendah yang membawa kepada kejatuhan mata wang.

Lira, yang turun lebih daripada 11 peratus pada sekitar 18.4 berbanding dolar sebelum ini, mengukuh kira-kira 10 peratus selepas pengumuman Erdogan.

Ia didagangkan pada 14.90 berbanding dolar pada jam 6.31 petang waktu tempatan.

Pemulihan berlaku apabila dolar berada di bawah tekanan susulan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) merosot berikutan tamparan terhadap rancangan perbelanjaan Demokrat di Washington dan kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron yang berterusan.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet, Erdogan berkata, langkah itu akan memastikan rakyat tidak perlu menukar lira mereka kepada mata wang asing berikutan kejatuhan lira, termasuk janji jaminan deposit.

“Kami membentangkan alternatif kewangan baharu kepada rakyat yang ingin mengurangkan kebimbangan mereka berpunca daripada kenaikan kadar pertukaran apabila mereka menilai simpanan mereka.

“Dengan pemotongan kadar faedah, kita semua akan melihat bagaimana inflasi akan mula jatuh dalam beberapa bulan.

“Negara ini tidak lagi menjadi syurga bagi mereka yang menambah wang mereka dengan kadar faedah yang tinggi, ia tidak akan menjadi syurga import,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak yang mempunyai wang, akses kepada kewangan untuk menyumbang kepada pelaburan dan berikrar langkah bagi membantu pengeksport dan pesara.

Desakan Presiden Turki itu untuk 500 mata asas pemotongan kadar faedah sejak September telah mencetuskan krisis mata wang terburuk negara itu dalam dua dekad, dengan lira jatuh 35 peratus dalam 30 hari terakhir.

Ahli ekonomi menyifatkan model kadar rendahnya sebagai melulu dan berkata, inflasi akan melonjak melebihi 30 peratus tahun depan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button