Berita Utama

Medac agih bantuan pasca banjir kepada usahawan terjejas teruk

Agihan bantuan akan dibuat melalui agensi seperti SKM, Tekun

SHAH ALAM,  16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan mengagihkan peruntukan pasca banjir kepada usahawan-usahawan yang terjejas di enam negeri dan satu wilayah persekutuan terlibat dalam bencana iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, agihan bantuan dibuat melalui agensinya di bawah Medac, iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memberi sumbangan kepada mana-mana koperasi yang terjejas dan disarankan untuk menghubungi pejabat SKM yang berada di setiap kawasan.

“Keduanya adalah melalui Tekun Nasional yang mana kita akan memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas ini mengguna pakai Skim Tekun bagi menyalurkan bantuan kepada penjaja-penjaja.

Ketiga kita akan berikan bantuan kepada golongan peniaga asnaf yang terjejas menggunakan skim bantuan yang berbeza,” katanya ketika meninjau situasi terkini bencana banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini.

Berkenaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Noh berkata beliau mengalu-alukannya, malahan rakyat biasa juga digalakkan menghulur bantuan.

“Namun demikian, perlu ada penyelarasan agar bantuan tidak bertindih dan diberi mengikut apa yang dirancang pihak kerajaan, kerana mempunyai bilik gerakan.

“Jika dapat berganding bahu dengan kerajaan adalah amat baik sekali kerana mungkin juga kerajaan tidak cukup peralatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button