Berita Utama

Mengapa tiada amaran banjir? Ia jadi punca mangsa terperangkap

Dakwaan ada gelombang lain tak benar, tapi perlu sedia kesan La Nina

BANGI, 16 Jamadilawal 1443H, Selasa – Mengapa tiada sidang media atau sebarang amaran yang dikeluarkan oleh mana-mana agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan jabatan kaji cuaca sebelum bencana banjir berlaku?

Persoalan itu ditimbulkan Pakar Meteorologi, Prof Azizan Abu Samah susulan melihat kegagalan pengurusan bencana daripada agensi kerajaan terlibat sejak 18 Disember lalu.

Beliau berkata, sekiranya agensi berkenaan mengeluarkan amaran sekurang-kurangnya satu hari awal melalui sidang media, pasti tiada masalah yang dihadapi ketika ini, dengan ramai mangsa yang terperangkap termasuk kehilangan nyawa.

“Mana-mana bencana, apa yang paling penting adalah amaran. Adakah ada any press conference yang dibuat oleh NADMA atau jabatan kaji cuaca untuk menyatakan betapa gentingnya keadaan, at least kalau dapat satu hari pun warning diberi kita takkan lihat orang tua terperangkap dan ada yang meninggal dunia.

“Satu hari amaran pun sudah cukup. Jadi mengapa itu tidak timbul? Itu adalah persoalan saya,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, malam ini.

Beliau berkata, selain amaran, respon terhadap bencana juga adalah faktor utama yang perlu dipandang serius supaya bantuan dapat disalurkan sebaiknya kepada mangsa.

“Kalau di Kelantan, kita sudah buka bilik gerakan. Saya bukan bercakap mengenai masalah banjir lagi, tetapi penguruan bencana. Respon bagaimana terhadap bencana banjir itu.

“Adakah respon itu telah diatur? Adakah sistem-sistem menyalurkan bantuan telah dibuat. Itu yang penting, respon semasa dan selepas bencana. Ia bukan pertama kali lagi, kita dah hadapi pada 2017 di Pulau Pinang, kemudian 2014 di Kelantan dan 2004 di Johor,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan tular di media sosial kebelakangan ini, kononnya akan berlaku gelombang lain untuk beberapa hari akan datang, Prof Azizan menyifatkan ia hanya khabar angin dan palsu.

“Apa yang ditularkan itu bohong, namun itu tidak bermakna saya menafikan ada lagi laluan udara sejuk yang mungkin menyebabkan banjir.

“Sekarang kita nak masuk ke La Nina, dan selalunya apabila La Nina negara akan menerima lebih banyak hujan iaitu mungkin 10 ke 20 peratus lebih.

“Maka, saya tidak mengatakan kemungkinan untuk banjir lagi itu tidak ada, bukan. Tetapi apa yang ditularkan sekarang ini adalah tidak benar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button